PESTECH dapat kontrak bangunkan aerotren baharu KLIA
KUALA LUMPUR: PESTECH International Bhd memperoleh kontrak untuk pembangunan Automated People Mover (APM) atau aerotren dan kerja berkaitan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) berjumlah RM742.95 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PESTECH berkata, anak syarikat milik penuhnya, PESTECH Technology Sdn Bhd (PTECH) telah menerima Surat Anugerah daripada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) untuk kerja berkaitan dengan reka bentuk, pembekalan, pemasangan, ujian dan pelaksanaan untuk kerja APM dan kerja-kerja berkaitan di KLIA.
Kontrak berkenaan di bawah Opsyen 2, yang termasuk pembiayaan serta operasi dan penyelenggaraan kemudahan itu sehingga 11 Februari 2034.
Projek itu membabitkan penggantian kenderaan APM baharu, bekalan kuasa, sistem komunikasi dan isyarat, peralatan stesen APM, kemudahan penyelenggaraan dan peralatan.
"Kerja-kerja pemulihan infrastruktur APM yang sedia ada sepanjang 1.2 kilometer akan dilaksanakan manakala perkhidmatan APM antara Bangunan Terminal Utama dan Terminal Satelit A akan diselenggara di bawah gangguan minimum sepanjang semua fasa projek itu.
"APM akan menawarkan penambahbaikan dalam penampilan dalaman, penggunaan tenaga, diagnostik dan lain-lain. Projek ini akan membawa perkhidmatan infrastruktur transit yang dipertingkatkan kepada pengunjung KLIA dengan APM yang lebih selamat, selesa dan kebolehpercayaan yang lebih baik.
"APM baharu akan menyumbang untuk pembangunan mampan KLIA menuju ke arah sistem APM tanpa pemandu yang bersih dan cekap," katanya.
PESTECH berkata, projek itu akan membawa momentum progresif kepada usaha kumpulan ke arah meletakkan sumber ke dalam mobiliti elektrik.
Ia juga akan memupuk pengetahuan teknologi berkaitan sistem APM sepenuhnya, dan menggunakan pengetahuan berkenaan dalam memupuk bakat tempatan dalam industri mobiliti elektrik yang mampan.
"Projek ini akan menyumbang secara positif terhadap pendapatan PESTECH selaras dengan peringkat kemajuan projek yang akan diiktiraf dalam tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 hingga 30 Jun 2034.
"PESTECH tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan projek seperti ketersediaan dan perubahan dalam harga bahan mentah. Syarikat akan mengambil langkah yang perlu untuk mengurangkan risiko apabila ia berlaku," katanya.